Isyarat Awal Amylea, Kaer

KUALA LUMPUR: Sangkanya lagu yang diterimanya tiga tahun lalu akan tersimpan begitu sahaja, terutama apabila perancangan sebuah syarikat produksi untuk menerbitkan drama tidak menjadi kenyataan.

Situasi itu memudarkan sedikit semangat pemenang tempat ketiga program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Amylea Azizan.

Tambahan pula, ketika itu, bintang kelahiran AF, Kaer Azami yang dipilih sebagai rakan duet untuk lagu Tak Pernah ciptaan Farouk Roman berada di Jakarta kerana melanjutkan pelajaran.

“Idea untuk merakamkan lagu duet ini sudah lama, kira-kira tiga tahun lalu. Sebaik menerimanya, saya segera e-melkan lagu itu kepada Kaer. Dia begitu teruja.

“Namun, kerjasama kami tertunda apabila drama yang dirancang tidak jadi diterbitkan. Apabila ia berlaku, saya hilang keyakinan diri. Kaer pula banyak menghabiskan masa di Jakarta. Jadi, hasrat itu terpaksa diketepikan seketika,” katanya.

Namun, kata Amylea, akhir tahun lalu, syarikat produksi, Radius One merancang untuk menerbitkan drama, Nur yang bakal menghiasi slot Samarinda di TV3 pada awal Ramadan ini.

“Jalan cerita drama itu bersesuaian dengan lagu ini. Selepas perbincangan, kami mencapai kata sepakat untuk merakamkan lagu ini. Alhamdulillah, akhirnya kerjasama saya dan Kaer menjadi kenyataan,” katanya.

Bintang kelahiran AF musim ke-2, Kaer Azami.

Ditanya mengenai pemilihan Kaer sebagai rakan duet, Amylea menyifatkan, penyanyi itu memiliki bakat yang besar.

Amylea juga kagum dengan kualiti vokal Kaer yang tersendiri, selain pernah bekerjasama menghasilkan lirik untuk lagu Ku Temui ciptaan Azlan Abu Hassan.

“Kami bersahabat baik dan ketika berdepan saat getir, dia menjadi tempat saya mendapatkan nasihat. Saya juga meminati Kaer, malah turut mengundi bersama keluarga untuk melihat dia berjaya di AF2.

“Lagu ini menjadi isyarat awal kebangkitan semula kami berdua. Kami serius mahu membuktikan bakat yang ada selepas lama menyepi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.