Sandiwara politik ini tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar ‘cubaan’ menggempur kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sedangkan hakikatnya gabungan tersebut memandang Felda ‘sebelah mata’ sahaja.

Bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, semua cubaan tersebut hanyalah taktik licik gabungan pembangkang PKR dalam menghadapi PRU-14 semata-mata, bukannya benar-benar prihatin dengan masalah dihadapi masyarakat Felda.

Jelas beliau, atas dasar itulah gabungan pembangkang PKR cuba menyemai janji-janji kosong namun hakikatnya sudah mengetahui bakal kalah teruk di kawasan Felda, memandangkan masyarakat Felda sudah menikmati segala kemudahan terbaik di bawah BN.

“Gabungan pembangkang PKR ini hanya cuba menyakinkan penyokong-penyokong mereka kononnya apabila bertanding di Felda, maka mereka dapat memperoleh kemenangan besar kerana masyarakat Felda menolak BN.

“Namun begitu, saya mendapat maklumat masyarakat Felda sebenarnya tidak terpengaruh langsung dengan agenda yang cuba dibawa gabungan pembangkang PKR, malah gembira dengan kemudahan yang disediakan BN ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terbaharu, Datuk Seri Mukriz Mahathir pula cuba menabur janji kononnya bakal mengembalikan kejayaan Felda termasuk mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian yang dialami Felda.

Terdapat 54 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen terletak dalam kawasan Felda sekali gus menandakan kerusi kawasan tersebut sangat penting bagi memburu kemenangan PRU-14.

Tambah Hamidah, BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak melakukan pembaharuan kepada kawasan Felda walaupun baru memegang tampuk pentadbiran negara hanya kira-kira sembilan tahun.

“Di bawah pentadbiran Najib ini, kita dapat lihat beliau memberi perhatian khusus kepada Felda, pelbagai inisiatif telah dilakukan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di kawasan Felda dan sebagainya.

“Hal ini ternyata berbeza dengan pentadbiran terdahulu yang seolah-olah tidak mengambil peduli tentang nasib masyarakat di kawasan tersebut,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE