MAIPs – Agensi Pertama Di Perlis Dianugerahkan Sijil Pematuhan ‘SAGA’

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mencatat sejarah sebagai agensi kerajaan pertama di negeri ini dianugerahkan Sijil Pematuhan ‘Standard Accounting for Government Agencies’ (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengumumkan perkara itu bertitah anugerah tersebut membuktikan kredibiliti MAIPs menguruskan kewangan dan pentadbiran dengan cekap serta mematuhi prosedur operasi standard.

“Pencapaian dan hala tuju MAIPs pada tahun 2017 yang cemerlang menyaksikan beberapa perubahan dan lonjakan positif, ini termasuk pelaksanaan projek mercu tanda MAIPs dan penubuhan One Centre sebagai pusat pemangkin keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Kejayaan melaksanakan pelbagai program bertaraf antarabangsa, nasional dan juga negeri sepanjang tahun lepas adalah kerana kesungguhan tenaga kerjanya yang penuh dengan daya usaha dan berinisiatif,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang 2017 (APC) jabatan dan agensi-agensi Agama Islam Negeri Perlis di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, dekat sini, malam tadi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.