Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Siap Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baharu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka siap akhir tahun ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, hospital yang mula dibina pada 2013 membabitkan kos kira-kira RM848 juta itu adalah projek pembangunan yang sedang dijalankan bagi menaik taraf HKL.

“Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baharu ini adalah bukti komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menjaga kesejahteraan rakyat dengan memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada golongan ibu dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra ke Wad Bersalin HKL dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, HKL yang baharu hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan cenderahati kepada salah seorang ibu bersalin pada lawatan mesranya ke Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur hari ini. – Foto BERNAMA

Perdana Menteri meluangkan masa sejam melawat pesakit di Wad Bersalin dan melihat kemudahan yang disediakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baharu itu.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Pengarah Hospital Kuala Lumpur Datin Dr Nor Akma Yusof.

Najib berkata bayaran untuk bersalin di HKL cuma RM10 saja, satu yang caj yang minimum berbanding caj dikenakan di negara lain.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat melawat wad bersalin HKL di mana saya dapat menyaksikan bagaimana wad bersalin ini telah memberi perkhidmatan yang cemerlang sejak ia ditubuhkan pada 1963. Bagi wad kelas ketiga ini bayarannya sangat minimum (murah),” katanya.

Beliau berkata tujuan lawatannya untuk memberi penegasan bahawa kerajaan BN mengambil berat mengenai perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya wanita dan kanak-kanak dan ia terkandung dalam manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara teras utama dalam manifesto PRU-14 membabitkan ibu dan kanak-kanak ialah ADAM50 atau Amanah Dana Anak Malaysia 2050 iaitu skim yang diperkenalkan kerajaan ketika pembentangan Bajet 2018.

“Setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan RM200 melalui unit amanah saham di bawah skim itu,” katanya.

Teras kedua pula di bawah penjagaan kanak-kanak universal ialah memberikan insentif kepada syarikat yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dan fasiliti untuk ibu yang menyusukan bayi serta melaksanakan dasar Penjagaan Awal Kanak-Kanak Universal (Universal Child Care) dengan memformulasikan kurikulum, program inklusif, pemakanan bernutrisi dan melatih tenaga pengasuh profesional.

Teras ketiga pula ialah mengutamakan peranan kaum ibu dan wanita menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu mengandung pulang sejam lebih awal dan memperluaskan insentif cukai kepada 24 bulan bagi wanita yang kembali semula ke pasaran pekerjaan.

Najib berkata banyak lagi inisiatif diberikan kepada golongan wanita antaranya menggalakkan sektor swasta mengamalkan dasar Keseimbangan Kehidupan dan Pekerjaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.