Pemuda UMNO Sabah Lapor Polis Penularan Video Palsu

KOTA KINABALU: Penularan rakaman video kes rasuah berprofil tinggi yang disunting untuk mengaitkannya dengan Barisan Nasional (BN) adalah tindakan terdesak pembangkang.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Mohd Bahrin Abd Karim, berkata video yang diubahsuai itu adalah contoh terbaik bagaimana berita tidak benar boleh digunakan dalam percubaan pembangkang untuk menipu rakyat.

Katanya, logo sebuah akhbar yang diletakkan di dalam visual dengan wawancara dan suara yang sudah diubah itu semata-mata mahu mengaburi orang ramai yang bertujuan memberi perspektif buruk kepada kerajaan.

“Akhbar The Star juga sudah mengeluarkan satu kenyataan penafian mengenai video itu kerana menggunakan logo dan klip video mereka tanpa kebenaran.

“Inilah taktik kotor pembangkang dan tentunya apabila ia menjadi viral, ‘keyboard warrior’ akan terus menyebar cerita itu,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, semalam.

Mohd Bahrin berkata, laporan polis dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengenal pasti individu bertanggungjawab mengubahsuai dan menyebarkan rakaman video berkenaan.

Katanya, penggunaan Akta Antiberita Tidak Benar yang baru diluluskan mampu menangani isu seperti itu daripada terus berleluasa.

Rakaman berdurasi satu minit 34 saat itu memaparkan seorang lelaki dikenali membuat kenyataan berhubung beberapa salah laku di negeri ini, namun turut disunting dan diselitkan dengan klip membabitkan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa kes sebelum ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.