Artis Badan Besar Terus Naik Angin Hinaan Kak Zai

PETALING JAYA: Tindakan pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain merungut mengenai individu berbadan besar yang hadir ke sebuah pertunjukan fesyen mengundang rasa marah dalam kalangan selebriti berpenampilan berkenaan.

Pelawak Abam Bocey menyifatkan kenyataan Zaihani Mohd Zain atau dikenali Kak Zai sebagai tidak wajar dan menyentuh sensitiviti segelintir masyarakat khususnya mereka berbadan besar

Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata, Zaihani sepatutnya lebih terbuka dan memberi peluang kepada orang-orang berbadan besar untuk berada di majlis-majlis umum seperti pertunjukkan fesyen.

“Bagi saya dia telah menyentuh isu sensitif terutamanya bagi orang berbadan besar seperti saya. Apa sebenarnya yang ingin dimaksudkan adakah kami tidak boleh hadir ke majlis-majlis sebegitu?

“Kalau tidak selesa dia boleh menegur dengan cara baik dan bukan kata-kata hinaan seperti itu,” ujarnya kepada mStar Online.

 

Kenyataan Zaihani mengundang kemarahan netizen.

Abam diminta mengulaskan kenyataan Zaihani yang memuat naik status yang menimbulkan kemarahan netizen di media sosial.

Pengkritik itu meluahkan ketidakselesaan dengan kehadiran individu bertubuh besar di sebuah pertunjukan fesyen.

Zaihani perah bertugas di beberapa stesen televisyen sebelum ini yang bertanggungjawab terhadap pakaian selebriti.

Dalam pada itu Abam berharap masyarakat lebih berhati-hati dalam meluahkan pendapat terutama dalam menyentuh soal fizikal seseorang.

Sementara itu, pelakon Senario The Movie, Syanie, 44, mengakui marah dan terkilan dengan kenyataan tersebut.

Katanya, pengkritik itu tidak mengetahui apa yang dilalui oleh seseorang berbadan besar.

 

Syanie

“Saya terkejut dan sedih bagaimana orang yang sangat dijadikan idola mengeluarkan kata-kata seperti itu pada tahun 2018.

“Dia hanya menjatuhkan keyakinan kami untuk hadir ke majlis-majlis keramaian seperti itu. Tahukah dia bahawa ada dalam kalangan kami bukan gemuk disebabkan makan sahaja.

“Ada daripada keturunan dan ada juga disebabkan sakit, pernahkah dia berfikir bagaimana kami berhadapan dengan orang ramai yang berfikiran seperti dia?” soalnya.

Syanie atau Syanie Hashim berkata, beberapa peminatnya meluahkan rasa sedih dan hilang keyakinan untuk berada di khalayak umum.

Malah, ada juga yang meninggalkan mesej untuk membunuh diri selepas membaca kenyataan tersebut.

“Saya menerima banyak mesej di laman sosial yang hilang keyakinan bila baca kenyataan itu. Ada yang sampai rasa nak bunuh diri kerana beranggapan tidak layak untuk hidup.

“Saya pula kena beri semangat pada mereka dan pulihkan kenyakinan mereka untuk berhadapan dengan hinaan orang ramai,” ujarnya.

Syanie juga berkata, dia ingin bertemu dengan pengkritik fesyen tersebut jika dia benar-benar berasa tidak puas hati dengan golongan sepertinya.

 

Enot minta tiada dikriminasi terhadap golongan berbadan besar.

Dalam pada itu, pelawak Enot atau Alliza Abdullah, 39, turut meluahkan rasa sedih dan terkesan dengan kenyataan tersebut.

Katanya, masyarakat luar sudah menerima golongan seperti mereka dan menghapuskan dikriminasi terhadap golongan berbadan besar.

“Saya fikir dikriminasi seperti ini sepatutnya sudah tiada lagi di Malaysia. Orang luar terutamanya bidang fesyen sekarang sudah mengetengahkan model yang unik dan ada yang berbadan gempal.

“Pada saya dia masih berfikiran 20 tahun kebelakang yang hanya memberi ruang kepada berwajah cantik dan kurus sahaja,” ujarnya.

Katanya, golongan berbadan besar juga mampu berfesyen dan berada di majlis-majlis keramaian seperti persembahan fesyen.

Selain artis berkenaan, pelakon Harith Iskander dan juga Adibah Noor turut memberi reaksi mereka dalam laman sosial masing-masing berhubung perkara itu.

Usaha mStar Online untuk mendapatkan komen Zaihani gagal apabila dia tidak menjawab panggilan telefon selain tidak membalas mesej dihantar. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.