Otak Atas Kapal, Badan Hilang Di Laut

PELABUHAN KLANG: Seorang kru kapal korek warga China maut selepas kepalanya terkena bilah motor yang sedang dibaikinya pagi Rabu lalu.

Bagaimanapun, mayat mangsa masih belum dikesan selepas dia terjatuh dari kapal korek itu yang berada pada kedudukan kira-kira 7.0 batu nautika dari Pintu Gedung, di sini.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad, berkata pihaknya menerima panggilan daripada kedutaan China pada jam 3.05 petang hari sama memaklumkan mengenai kemalangan dan kehilangan kru kapal berkenaan.

“Difahamkan, kapal berkenaan dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Bangladesh sebelum ia mengalami kerosakan dan bersauh berdekatan Pintu Gedung pada jam 8.30 pagi.

“Mangsa yang berusia 35 tahun itu dikatakan cuba membaiki kerosakan motor pada kapal itu sebelum satu letupan kecil berlaku pada kabel motor sehingga menyebabkan bilah pada bahagian berkenaan terpelanting lalu terkena kepala mangsa.

“Akibat kejadian, kepala mangsa pecah dan otaknya terburai di atas kapal manakala badannya terjatuh ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sudah mengerahkan dua asetnya iaitu Kapal Maritim Danga serta Bot Kilat 20 untuk mengesan mayat mangsa bermula jam 8 malam kelmarin bagaimanapun hingga kini mangsa belum ditemui.

Katanya, pada masa sama, bapa mangsa iaitu kapten kapal korek berkenaan dan ibunya yang juga tukang masak di atas kapal sama yang terkejut dengan kemalangan menimpa anak mereka, diserang sakit jantung.

“Kedua-dua ibu bapa mangsa diserang sakit jantung dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Kapal korek pasir itu kini bersauh buat sementara waktu pada kedudukan 1.3 batu nautika dari Tanjung Rhu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.