Pelajar Yaman Lemas Di Pulau Perhentian

BESUT: Seorang warga Yaman yang juga pelajar Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya ditemui lemas di Pulau Perhentian Kecil kira-kira jam 2.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mangsa, Abkar Maged Mahmood Mohammed, 24 berada di pulau itu untuk bercuti bersama 12 rakannya yang lain sejak Selasa dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur hari ini atau esok.

Katanya, mayat mangsa telah ditemui di dasar laut berdekatan pantai peranginan Long Beach, Pulau Perhentian Kecil oleh anggota polis yang dibantu orang awam kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dikatakan hilang ketika mandi.

” Sebelum kejadian mangsa dikatakan telah pergi mandi di laut bersama seorang rakannya dan telah menghadapi masalah ketika berenang lalu hilang dan tenggelam sebelum disedari oleh rakannya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zamri berkata mayat mangsa di bawa ke Hospital Daerah Besut melalui Jeti Tok Bali, Kelantan kira-kira 5.30 petang, semalam dengan menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk bedah siasat.

Pihak kedutaan Yaman juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.