PPM Rampas Telur Penyu

SEMANTAN: Kegiatan sebuah premis di Pekan Sematan yang menjual telur penyu sejak beberapa bulan lalu ditumpaskan sepasukan polis pagi tadi.

Serbuan dijalankan Unit Risikan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Sarawak jam 11 pagi tadi hasil risikan dan maklumat awam.

Komander PPMW5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata serbuan itu berjaya merampas 1,000 biji telur penyu dianggarkan bernilai RM2, 000.

Menurutnya, semakan mendapati pemilik premis berkenaan seorang wanita berusia 37 tahun yang tidak memiliki kebenaran untuk memiliki atau menjual telur berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui 280 biji telur penyu disorokkan suspek di bawah meja manakala 720 biji lagi disimpan dalam peti ais.

“Polis tidak menolak kemungkinan telur penyu berkenaan dijual untuk pasaran tempatan dengan harga RM2 untuk sebiji,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, rampasan dijalankan mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan kes diserahkan kepada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) untuk tindakan selanjutnya dan polis masih menyiasat sumber bekalan telur penyu yang diperoleh suspek.

“Orang ramai dinasihat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penjualan telur penyu kepada pihak berkuasa kerana ia menjadi kesalahan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.