Pupuk Rasa Cinta Orang Muda Terhadap UMNO

SEGAMAT – Golongan veteran UMNO Johor menasihati ketua bahagian UMNO di negeri itu supaya memberi kefahaman secukupnya kepada orang muda di kawasan masing-masing bagi memupuk rasa cinta dan taat setia mereka terhadap parti.

Pengerusi Veteran UMNO Johor Datuk Abdul Rahman Yunus berkata sebagai orang lama dalam UMNO yang terus istiqamah dalam perjuangan parti, beliau menasihati pemimpin-pemimpin di kawasan supaya selalu menceritakan sejarah perjuangan UMNO agar orang muda lebih mengenali dan memahami nadi perjungan parti mereka.

“Saya rasa agak sedih apabila ramai ketua bahagian lebih berminat bercakap pasal politik tanpa memberi ilmu dan kefahaman yang secukupnya kepada anak muda agar mereka lebih bersedia dan bertanggung jawab mewarisi parti UMNO untuk terus dipertahankan dari satu generasi ke generasi yang lain.

“Siapalah yang ingin mendengar cakap orang tua seperti saya ini, lebih lagi untuk menasihati mereka (Ketua Bahagian UMNO), namun saya sedia terus berkhidmat untuk UMNO selagi saya diperlukan..jika dipanggil untuk memberi ceramah kepada anak muda, tulang empat kerat ini masih gagah berdiri untuk UMNO,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Warga emas berusia 74 tahun itu berkata tidak ramai yang mengenali dan tidak ramai juga yang berminat untuk berbicara mengenai topik tersebut sedangkan ia merupakan asas utama kepada kelahiran bagi sesebuah parti dan kerajaan.

“Apabila saya menyampaikan ceramah kepada anak muda, ramai di kalangan mereka yang terpinga-pinga apabila ditanya tentang sejarah perjuangan UMNO.

“Amat malang bagi pendapat saya jika kita hanya sekadar menyokong sesebuah parti sebagai satu ikut-ikutan tanpa memahami perjuangan yang dibawa oleh parti tersebut,” katanya.

Menggunakan pepatah Melayu, beliau berkata: “Kalau tak kenal maka tak cinta, begitulah juga dalam berpolitik kalau tidak tahu sejarah dan faham nadi perjuangan parti, ia tidak akan ke mana.”

Abdul Rahman berkata asas perjuangan UMNO tidak pernah lari, dahulu mahupun masa kini, terasnya adalah satu iaitu untuk membela nasib orang Melayu, cuma yang berbeza adalah cara dan pendekatan mengikut acuan pemimpin yang bersilih ganti.

“Pemimpin datang dan pemimpin pergi..tapi nadi perjuangan UMNO tetap sama,” katanya.

Sementara itu, veteran UMNO Jementah Hamdan Abdul Azizi pula tidak menafikan bahawa mengetahui sejarah silam perjungan UMNO itu penting tetapi apa yang lebih mustahak adalah orang muda perlu tahu apakah sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

“Jelas terbukti bahawa pelbagai pembangunan telah dilakukan oleh kerajaan bagi membantu rakyat, orang muda perlu tahu bahawa nikmat kemudahan yang mereka rasai hari ini adalah hasil daripada sumbangan kerajaan BN yang sentiasa peka dengan keperluan rakyat.

“Jadi bagi saya sudah cukup bagi orang muda mengetahui apa sumbangan yang diberikan oleh pemimpin negara hari ini untuk terus memberi sokongan kepada pucuk pimpinan parti,” kata pesara tentera berusia 75 tahun itu.

Lebih dikenali dengan panggilan Tok Hamdan, beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai ketua cawangan UMNO Jementah Barat itu berkata orang muda perlu bijak dalam menentukan parti mana yang mereka ingin pilih ketika Pilihan Raya Umum nanti kerana ia bakal menentu nasib negara selama lima tahun nanti.

“Nasihat saya pada anak muda, lihat dan perhatikan keadaan sekeliling dan fikirkanlah apa jadi pada nasib mereka hari ini jika kerajaan yang mentadbir negara dari parti sebelah sana,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.