Ibu Tunggal Minum Air Kosong Demi Anak

SEREMBAN: Ketika cuaca baik, Shafarina Mohd Nasir akan berjalan 10 kilometer sepanjang laluan di kawasan penempatan Ampangan untuk mengutip pelbagai barangan kitar semula termasuk kadbod untuk dijual.

Wang yang diperoleh akan digunakan untuk memenuhi keperluan anak perempuannya yang berusia dua tahun, Nur Ain Kaisara Abdul Fatah.

“Saya keluar dari rumah emak tiga bulan lalu kerana kehidupan dia juga sukar,” kata ibu tunggal yang tinggal di Taman Cengal Utama di sini.

Shafarina, 31, berkata, dia boleh mendapat kira-kira RM20 sehari dengan menjual kadbod.

“Tetapi jika hujan, tiada pendapatan untuk saya.

“Bila saya tidak ada wang untuk membeli susu tepung, saya hanya berikan anak susu pekat,” katanya.

Sukar bagi wanita bergelar janda ini untuk mendapat pekerjaan kerana tiada siapa yang dapat membantunya menjaga anaknya.

Baru-baru ini, pemilik gerai nasi lemak menawarkan Shafarina kerja dengan gaji RM30 sehari, selain menyediakan rumah untuk dua beranak itu berteduh. Kediaman itu dikongsi bersama ibu angkatnya.

Seorang jiran, Normah Abu Samah dari Madrasah Gedung Lalang berkata, dia pernah melihat Shafarina bersama anaknya di tepi jalan mencari barangan kitar semula ketika hujan.

“Dia hanya minum air kosong supaya dapat mengumpul wang untuk anaknya. Dia tidak mahu menyusahkan orang lain, tetapi saya nasihatkan dia supaya mendapatkan bantuan demi anaknya,” katanya.

Kesukaran yang dialami Shafarina telah mendapat perhatian Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.

“Kami akan bantu membuka akaun bank untuk dia menyimpan gajinya, selain membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan,” katanya ketika melawat rumah yang didiami Shafarina kini, selain menyampaikan sumbangan dalam bentuk keperluan harian.

Shafarina ternyata terharu apabila menitiskan air mata ketika menerima basikal dan wang daripada Sin Woon. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.