Pembangkang Serang Pelaburan China Boleh Beri Kesan Sektor Sawit

BERA – Tindakan pembangkang menyerang pelaburan China di Malaysia termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh memberi kesan besar terhadap masyarakat Melayu luar bandar yang terlibat dalam sektor kelapa sawit, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya dalam pakatan pembangkang \’membelasah\’ kerjasama Malaysia-China dalam projek itu boleh mengundang tindak balas negara kuasa besar ekonomi dunia itu, termasuk menghentikan pembelian minyak sawit daripada negara ini.

Katanya China yang menjadi rakan dagangan baharu pengimportan minyak sawit Malaysia perlu dinilai dalam konteks ‘menarik pelaburan asing dan faedahnya kepada rakyat’, bukannya diserang dengan pelbagai dakwaan negatif yang boleh menjejaskan kerjasama yang terjalin.

“Ketika blok Kesatuan Eropah (EU) mengenakan larangan import komoditi itu ke pasaran Eropah menjelang 2021, muncul China sebagai blok baharu membuka pasaran minyak kelapa sawit yang besar kepada Malaysia selain India.”

“Sebab itu kita kena jaga rakan dagangan baharu ini kerana penglibatan China membuka lebih banyak peluang kepada Felcra dan Felda memasarkan minyak sawit yang majoriti pengusaha dan pekerjanya adalah daripada kalangan orang Melayu dan Bumiputera di luar bandar,” katanya.

Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan agihan dividen Felcra Berhad (Felcra) bagi hasil ladang 2017 di sini, hari ini.

Selain bercadang membatalkan projek ECRL jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir juga sering menyerang projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gambang serta pembangunan Forest City di Iskandar Malaysia di Johor.

“Apa yang boleh disimpulkan daripada tindakan Dr Mahathir itu ialah beliau tidak peduli dengan nasib masyarakat luar bandar akibat daripada perbuatannya menyerang negara itu yang kini merupakan rakan dagangan yang besar industri minyak kelapa sawit negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata tindakan Dr Mahathir itu tentunya mengundang rasa kecewa mereka yang terbabit dalam sektor perladangan sekaligus menjadikan institusi Felcra dan Felda yang majoritinya digerakkan oleh masyarakat Melayu luar bandar itu kekal sebagai kubu kuat penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ini berdasarkan laporan yang diterima menunjukkan masyarakat luar bandar tidak terpengaruh dengan agenda yang dibawa Dr Mahathir kerana sedar parti mana di sebalik gerakan itu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.