Pos Malaysia Tolak Cetak Setem Parti Politik

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) tidak akan melayan permintaan mana-mana parti politik atau individu yang mahu mencetak setem dengan logo parti mahupun imej pesanan politik masing-masing.

Ketika ini, Pos Malaysia menawarkan perkhidmatan SetemKu, iaitu tempahan mencetak setem dengan gambar peribadi dan logo korporat sebagai tarikan pelanggannya mengabadikan peristiwa istimewa sama ada secara dalam talian atau di 25 rangkaian Pos terpilih seluruh negara.

Ketua Unit Setem dan Filateli, Pos Malaysia Bhd, Diyana Lean Abdullah, berkata, sudah beberapa kali pihaknya menerima tempahan daripada beberapa pelanggan yang mahu mencetak setem dengan gambar individu bersama bendera, logo parti atau pesanan politik.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu ditolak sejajar dengan komitmen Pos Malaysia untuk tidak mengedarkan setem yang boleh menganggu sensitiviti umum apatah lagi setem terbabit sah digunakan untuk penghantaran.

“Sudah tertakluk dalam syarat perkhidmatan SetemKu, mana-mana gambar berunsur lucah , menganggu sensitiviti, keagamaan dan pesanan politik akan ditolak, dan semua kos yang sudah dibayar pelanggan menerusi perkhidmatan dalam talian akan dipulangkan.

“Pesanan politik ini termasuk logo parti, bendera parti dan pesanan politik.

“Hanya gambar individu untuk tempahan peribadi sahaja dibenarkan, itu pun pernah sekali timbul isu kami mencetak gambar individu utama dalam parti politik, namun ia dibolehkan selagi tidak melanggar syarat,” katanya pada majlis pelancaran Koleksi Setem Sitrus di sini, baru-baru ini.

Setem siri Sitrus Malaysia yang akan diperkenalkan pada 24 April itu adalah antara cetakkan khas setem edisi terhad tahun ini disasarkan kepada pengumpul dan peminat setem di seluruh dunia.

Ia mengetengahkan pelbagai jenis Limau Malaysia yang sinonim dalam masakan serta kehidupan rakyat tempatan.

Sementara itu, Diyana Lean, berkata sebanyak tiga setem siri Sitrus Malaysia itu dicetak iaitu Limau Kasturi, Limau Purut dan Limau Nipis dengan masing-masing ditawarkan pada harga 60 sen setiap satu.

Selain setem, katanya, Pos Malaysia turut mencetak sebanyak 28,000 Sampul Hari Pertama (FDC), 25,000 unit Lembaran Mini (MS) gambar Limau Bali berharga RM6.00 dan 1,800 fail.

Koleksi itu akan ditawarkan di rangkaian Pos Malaysia, Galeri Setem Ibu Pejabat Pos Malaysia dan laman web www.pos.com.my atau www.eziemall.com. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.