Syafiq Dapat ‘Lampu Hijau’ Bapa Zahirah

KUALA LUMPUR: Syafiq Kyle mengakui, teruja apabila hubungannya dengan pelakon jelita, Zahirah MacWilson mendapat ‘lampu hijau’ daripada bapa gadis itu yang juga bintang veteran, Zainol MacWilson.

Bagaimanapun, tegas Syafiq, 26, jangan lekas membuat andaian kerana restu yang diberikan Zainol hanya untuk lakonan, ketika dia dan Zahirah bergandingan dalam drama bersiri adaptasi novel, Tak Ada Cinta Sepertimu.

“Uncle Zainol seorang yang ‘sporting’ dan Alhamdulillah, dia menyukai saya. Maksud saya, dia suka dengan cara saya bekerja. Maklum saja, setiap pelakon ada cara kerja mereka masing-masing.

“Sebaik mendapat tahu dia juga berlakon sama dalam drama itu selain Zahirah, saya jadi gementar. Selepas dua hari di lokasi penggambaran, baru kami dapat merasai keserasian yang dicari.

“Lebih mengujakan apabila mendapat tahu Uncle Zainol gembira apabila anaknya dapat bekerja dengan saya,” kata Syafiq yang ditemui pada majlis An Evening With Syafiq Kyle, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, pelakon drama Mencintaimu Mr Photographer itu melancarkan tiga produk di bawah jenamanya iaitu laman sesawang rasmi, www.syafiqkyle.com; barangan penjagaan kulit, Kylez Lab dan koleksi pakaian, Kylez by Syafiq Kyle.

Melihat kepada keserasiannya dengan pelakon berdarah kacukan Inggeris itu, ramai yang menyukai, malah berharap hubungan yang terjalin berlanjutan di luar lokasi penggambaran.

Mengulas perkara itu, Syafiq berkata, hubungannya dengan bekas kekasih pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin itu hanya terbatas sebagai rakan sekerja.

“Cinta kami hanya di lokasi dan tidak terbawa-bawa hingga ke luar. Saya kenal Zahirah sudah lama dan kami profesional apabila bekerja.

“Kami memang serasi di set, malah kalau berlatih, tidak perlu ambil masa yang lama. Kalau ada peluang, saya teringin bekerjasama dengannya lagi,” kata Syafiq yang bakal muncul dengan filem Langsuir arahan Osman Ali. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.