Alina Bimbang Dianggap Tagih Simpati

KUALA LUMPUR: Meskipun keperitan hidupnya bukan lagi rahsia, peserta Mentor Otai, Alina Hassan tidak mahu masalah peribadi mengganggu langkahnya untuk meneruskan perjuangan dalam program realiti itu.

Juara Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1996 itu seboleh mungkin, enggan dituduh sengaja menjual kisah sedihnya sebagai senjata untuk meraih simpati penonton dan juri tetap.

Alina, 50, sebelum ini, mengakui buntu apabila diarahkan keluar kerana rumah yang disewanya mahu diambil semula pemiliknya, selain tidak mempunyai wang pendahuluan untuk menyewa kediaman baharu.

“Masalah rumah sangat mengganggu hingga saya terbawa-bawa ketika membuat persediaan untuk bertanding. Selalu saya terfikir, jika ditakdirkan tersingkir, di mana saya akan tinggal?

“Memang saya buntu apabila diminta keluar. Barang-barang saya masih ada di situ kerana saya menginap di hotel yang disediakan produksi. Saya tidak tahu lagi apa perancangan selepas program ini berakhir,” katanya.

Tidak banyak berkongsi perasaan dengan mentornya, Siti Sarah Raissuddin, Alina mengakui, ada ketika takut memikirkan masa depannya dalam industri hiburan memandangkan dia sudah berusia.

“Saya ada luahkan apa yang terbuku di hati, tetapi tidak mahu mengganggu tugas Sarah. Saya juga tidak mahu kerana masalah peribadi, saya jadi lemah. Saya perlu kuat untuk membuktikan saya layak berdiri di pentas Mentor Otai.

“Bayangkan ramai yang datang untuk sesi uji bakat, tetapi Sarah memilih saya. Tidak adil jika saya bersikap sambil lewa. Saya perlu buat yang terbaik kerana terhutang budi dengan Sarah yang memberikan kepercayaan besar ini,” katanya.

Percaya dengan kemampuan Sarah membentuk semula dirinya menjadi penyanyi yang baik, Alina mengakui, disebabkan kurang yakin, ada ketika dia terleka hingga persembahannya sering menerima kritikan hebat daripada juri tetap.

Mengakui berdepan laluan sukar bersaing di pentas Separuh Akhir, Ahad ini, Alina cuba mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

“Sarah tahu kemampuan saya dan sentiasa berusaha mencungkil sisi terbaik saya sebagai penghibur. Memang saya gementar, terutama apabila berdepan dengan saingan lebih muda. Apapun, saya serahkan sepenuhnya kepada mentor untuk memilih lagu yang sesuai saya bawakan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.