Hafizh Rookie Terpantas Di Litar Austin

KUALA LUMPUR: Meskipun mengharungi sesi latihan bebas yang kurang sempurna, Hafizh Syahrin Abdullah masih mampu muncul pelumba rookie terpantas saingan MotoGP pada sesi latihan bebas kedua di Grand Prix Amerika, Austin, awal pagi tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mencatat dua minit 8.819 saat untuk catatan ke-20 terpantas pada sesi latihan bebas pertama, namun dia berjaya memperbaiki catatan itu kepada 2.6s lebih pantas di sesi latihan bebas kedua sekali gus muncul pelumba ke-16 terpantas.

Hafizh bagaimanapun percaya dia mampu mencatat masa lebih pantas jika tidak kerana insiden kemalangan yang memaksanya untuk memperlahankan jentera pada hujung sesi latihan bebas kedua.

“Saya rasa lebih selesa di sesi latihan kedua kerana kami dapat mempamerkan peningkatan ketara,” kata Hafizh.

“Pada hujung sesi, saya dapat menghampiri Tom Luthi tetapi Takaaki Nakagami terbabit dengan kemalangan di depan. Jadi kami berdua terpaksa memperlahankan jentera.

“Sangat tidak bernasib baik kerana keyakinan saya sangat tinggi dengan jentera dan rasanya mampu mencatat masa lebih pantas. Saya rasa mampu melakukan lebih baik pada sesi kelayakan.”

Hujan dijangka membasahi litar Austin hari ini dan ketika Hafizh dikenali sebagai pakar litar basah, dia lebih selesa untuk beraksi dalam litar kering.

“Saya harap cuaca akan kekal baik dan kami mampu merapatkan jurang dengan kelompok depan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.