Kecoh Foto ‘Anu’, Zul Ariffin ‘Panas’ Lagi

KUALA LUMPUR: Angkara digodam, Zul Ariffin yang sebelum ini ‘hangat’ dengan pengakuan putus cinta dengan aktres jelita, Zahirah Macwilson, sekali lagi terpalit kontroversi gara-gara foto alat sulit yang dimuat naik pada aplikasi Instagram Story aktor sasa itu.

Kekecohan bermula apabila salah seorang pengguna Twitter berkongsi paparan skrin atau ‘screenshot’ daripada Instagram Story Zul yang berkongsi foto yang menampakkan alat sulit lelaki, pada jam 8 malam tadi.

Bagaimanapun, foto terbabit dipadamkan dua minit kemudian.

Netizen yang menyedari insiden itu rata-rata tidak percaya bintang Tombiruo itu sanggup memuat naik foto yang boleh mengaibkan dirinya.

Beberapa jam kemudian, kekecohan terlerai apabila kelab peminat Zul, @zulariffinfc menjelaskan akuan pelakon itu digodam melalui entri pada Instagram Story.

Entri itu menyebut:

“Hai semua, akaun bos (merujuk kepada Zul) digodam, awal malam tadi. Dia sudah membuang foto terbabit dan semuanya dalam kawalan.

“Kami memohon maaf jika entri berkenaan menyinggung perasaan anda. Bos akan ambil tindakan sekiranya ia berulang kembali.”

BH Online masih berusaha mendapatkan reaksi Zul mengenai insiden berkenaan.

Sabtu lalu, Zul, 31, mengesahkan hubungan cintanya dengan Zahirah, 23, sudah terlerai sejak lebih sebulan lalu.

Dalam pengakuan eksklusifnya kepada BH Online, Zul memberitahu, ramai yang sudah mengetahui mengenai perhubungan mereka yang bagai ada pasang surutnya.

“Sudah putus… Gelombang hubungan kami sudah diketahui ramai sejak tahun lalu. Diakui, hubungan kami ada masanya putus dan bersambung semula dalam tempoh berkenaan.

“Sebab itu, saya hanya memberi ‘samar bayangan’ jika ada yang bertanya.

“Hari ini, saya mahu menegaskan, perhubungan itu sudah berakhir dan tidak mungkin bertaut kembali. Jika masih meneruskan hubungan, bermakna saya menganiayai diri sendiri.

“Tiada apa yang mahu disembunyikan lagi,” katanya.

Krisis hubungan Zul dan Zahirah bagaikan tiada penghujung apabila beberapa isu meletus sepanjang percintaan mereka. Ia termasuk kontroversi mengaitkan aktres jelita itu sebagai ‘orang ketiga’ dalam kemelut perhubungan Kamal Adli dan Emma Maembong, tahun lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.