PRU-14: Calon BN Diumum Mulai Esok

PUTRAJAYA: Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan seawal esok hingga Selasa ini oleh Pengerusi BN negeri masing-masing.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada semua Pengerusi BN negeri dan terpulang kepada mereka untuk membuat pengumuman dalam tempoh itu.

“Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula, pengumuman calon serta manifesto akan dibuat esok jam 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kita sudah mengeluarkan arahan agar pengumuman calon BN perlu dibuat bermula esok hingga Selasa ini, terpulang kepada Pengerusi BN negeri untuk membuat pengumuman dalam tempoh itu,” katanya.

Tengku Adnan berkata, pengumuman itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada semakan calon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Beliau berkata, semakan calon itu penting bagi memastikan calon mewakili BN bersih.

“Ini adalah inisiatif kita, berbeza dengan gabungan pembangkang yang tidak mengambil langkah sama dan hanya tahu menyalahkan pihak lain jika mereka berdepan sebarang masalah,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.