Aznie, AJ, Elvira Dan Alina Beradu Di Pentas Akhir

SHAH ALAM : Empat peserta Mentor Otai iaitu Aznie Ariffin, Kamarol Azril (AJ) , Elvira Carrie Olga dan Alina Hassan diumumkan mara ke pentas akhir program realiti itu, Ahad depan.

Mereka bakal meneruskan perjuangan merangkul gelaran juara yang menyediakan hadiah wang tunai RM100,000.

Pada persaingan peringkat separuh akhir yang disiarkan secara langsung dari Plaza Alam Sentral 2, di sini, malam ini, protege Zarul Husin, Lokman Azimi bagaimanapun tersingkir.

Mentor Otai yang dihoskan Haziq Hussni dan Elly Mazlein memberi kuasa kepada juri awam sebanyak 20 peratus selain undian penonton secara atas talian sebanyak 30 peratus.

Mark Adam dan Edry Abdul Halim yang bertanggungjawab sebagai juri tetap, menyumbang 50 peratus daripada markah keseluruhan.

Program nyanyian itu membariskan lapan peserta di bawah bimbingan empat penyanyi berpengalaman iaitu Tam, Zarul, Misha Omar dan Sarah Raissuddin.

Sebelum ini, tiga peserta meninggalkan pentas Mentor Otai iaitu protege Sarah, Ayie yang tersingkir pada pusingan kedua. Ini disusuli Misha yang kehilangan anak didiknya, Azran. Minggu lalu pula menyaksikan Irwan, iaitu protege kepada Tam Spider, tewas.

Mentor Otai yang diterbitkan TV3 diserikan dengan persembahan kumpulan Zabarjad dengan lagu Karam. Manakala Allison yang mewakili peserta uji bakat pilihan mendendangkan lagu Goyang Dumang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.