BN Berpeluang Menang Kerusi Disandang Pembangkang Di WP

KUALA LUMPUR – Berikutan pengumuman nama 13 calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, beberapa penganalisis politik percaya parti gabungan itu mempunyai peluang yang baik untuk merampas sembilan daripada kerusi yang disandang pembangkang melalui pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapan, kata mereka, memandangkan arus politik yang ada sekarang, BN perlu mempunyai strategi dan kepimpinan padu untuk menjamin kemenangan calonnya.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata senarai calon berkenaan, yang terdiri daripada ahli politik kanan, golongan muda dan muka baharu, mencerminkan semangat kental dan kesungguhan BN untuk merampas kembali kerusi yang terlepas daripadanya pada pilihan raya umum lepas.

“Walaupun petanda yang wujud adalah menggalakkan, tetapi saya tetap berpendapat BN akan berdepan dengan persaingan sengit. Lagi pun, sentimen penduduk bandar dan pengundi muda, kadangkala sukar untuk diramal,” katanya apabila dihubungi Bernama.

Semalam, setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Rizalman Mokhtar mengumumkan senarai calon BN bagi Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada enam muka baharu, tiga penyandang dan dua calon yang diketengahkan semula serta dua pemimpin akar umbi untuk bertanding bagi 13 kerusi Parlimen. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.