FELDA Anjur Pertandingan ‘FELDA 2.0 Timber Design’

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempelawa rakyat Malaysia menyertai pertandingan ‘Felda 2.0 Timber Design’ untuk mereka bentuk bangunan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak menggunakan kayu.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika melancarkan pertandingan itu di Menara Felda di sini hari ini berkata reka bentuk yang memenangi pertandingan itu akan digunakan untuk pembinaan bangunan serbaguna dan taman kanak-kanak di Felda Lurah Bilut di Pahang.

“Reka bentuk bangunan serbaguna dan taman permainan yang direka perlulah kreatif dan artistik sehingga ia mampu menjadi tarikan pelancong. Dewan serbaguna haruslah praktikal supaya Felda boleh mengadakan pelbagai majlis di dewan itu,” katanya.

Felda dalam kenyataan yang diedarkan berkata pertandingan dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) itu bermula hari ini sehingga 30 Jun dan finalis akan dipanggil untuk peringkat kedua pada 16 Ogos depan.

Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia sama ada pelajar atau penggiat industri berumur 18 tahun ke atas. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.