Viral Palsu Disiasat Akta Antiberita Tidak Benar 2018

SEMPORNA: Berita palsu kemalangan yang mengorbankan isteri dan anak saudara Ahli Jawatankuasa UMNO Semporna, Datuk Abdul Hajan Gurimbang, minggu lalu, disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan terperinci kini dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dikuatkuasakan pada 11 April lalu.

“Ini berikutan laporan yang dibuat oleh Setiausaha UMNO Semporna, Mohd Syam Mohd Muksan, kelmarin,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, akhbar terbitan NSTP melaporkan Abdul Hajan berhasrat menyaman individu bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu membabitkan kemalangan yang mengorbankan isterinya, Datin Rosita Ghani Abdul Shah, 53, dan pemandu kenderaan, Sulaiman Hariatio, 30-an yang juga anak saudaranya.

Pada 17 April lalu, Rosita dan anak perempuannya, Nurul Zafiral, 24, dalam perjalanan menaiki Toyota Land Cruiser yang dipandu oleh Sulaiman sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux Vigo dan lori di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan.

Sulaiman maut di tempat kejadian, manakala Rosita meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.

Berikutan kejadian itu, satu gambar kemalangan menunjukkan kereta hitam Toyota Land Cruiser bertembung dengan lori, dimuat naik seorang pengguna laman sosial bernama Hussein Abdul Hamid di akaun Facebooknya.

Foto berkenaan turut disertakan dua gambar lain memaparkan sejumlah wang di dalam kotak dan seorang lelaki yang berpakaian kemeja biru serta topi dengan logo BN.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, polis mengeluarkan kenyataan bahawa tiada wang ditemui ketika kejadian di dalam kenderaan berkenaan dan mengesahkan ia sebagai berita palsu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.