FELDA United Teruskan Penguasaan Liga Perdana

FELDA United terus melebarkan penguasaan mereka di Liga Perdana walaupun sekadar melakar keputusan seri 1-1 menentang FELCRA FC, sebentar tadi.

The Fighters kini mengumpul 20 mata dan meninggalkan FELCRA FC dan Sarawak yang terikat dengan 14 mata di tangga kedua namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pendahulu Liga Perdana kendalian B Sathianathan terlebih dulu membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan Thiago Augusto Fernandes.

Bagaimanapun ia tidak bertahan lama apabila lawan mempamerkan tentangan sengit dan kegagalan barisan pertahanan FELDA United mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membawa padah apabila pelawat menyamakan kedudukan menerusi tandukan Anselmo Arruda Da Silva.

Tiada tambahan jaringan mampu dijelmakan kedua-dua pasukan dengan FELCRA FC kini mengumpul 14 mata, melonjak dari tangga keempat kepada kedudukan kedua dengan kelebihan jaringan berbanding Sarawak.

Kegagalan FELDA United mengutip mata penuh gagal dimanfaatkan Sarawak yang berada di tangga kedua sebelum turun ke gelanggang namun terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah, UiTM FC yang melakar kemenangan 3-2.

Dua jaringan Lucas Ramon Pugh pada babak pertama pada minit ke-12 dan 32 selain satu jaringan Bakary Dao minit ke-58 sudah cukup memastikan tiga mata buat tuan rumah di Stadium UiTM, Shah Alam.

Dua ledakan Mateo Roskam pada setiap babak masih belum cukup untuk Sarawak membawa pulang sebarang mata sekaligus jatuh satu tangga di tempat ketiga. – HARIAN METRO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.