Polis Sahkan Penemuan Motosikal Suspek Bunuh Dr Fadi

SHAH ALAM – Polis mengesahkan penemuan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes bunuh Dr Fadi Mohammed Al Batsh, berhampiran Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata motosikal itu ditemui dalam keadaan baik dan siasatan sedang dijalankan ke atas motosikal berkenaan.

“Ya, polis memang ada temui motosikal itu yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan pembunuhan itu.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan butirannya berikutan ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Peringkat Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Difahamkan, motosikal yang ditinggalkan berhampiran tasik itu ditemui orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis pada kira-kira pukul 1 tengah hari tadi. Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata selain motosikal, polis turut memperoleh beberapa petunjuk terbaharu berhubung kes itu berikutan ada beberapa individu telah tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. “Ada individu telah beri maklumat tetapi kita tidak boleh dedahkan dan saya juga tidak dapat sahkan sama ada suspek masih ada dalam negara atau tidak sebab kita tiada butiran lengkap mengenai identiti suspek kecuali lakaran fotofit yang telah kita edarkan kepada pihak berkaitan untuk bantu kita mengesan mereka,” katanya.

Sabtu lepas, Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik dengan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimami solat Subuh, kira-kira pukul 6 pagi.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu kira-kira 20 minit sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata polis akan memberi tumpuan kawalan keselamatan kepada Selangor dalam PRU14 berikutan negeri ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Selain itu saiz negeri Selangor juga agak besar berbanding negeri lain dan kita tidak fokus pada satu-satu kawasan sahaja sebab bagi saya semua kawasan penting.

“Polis akan menjalankan tugas secara profesional tanpa memihak pada mana-mana parti dan kita berharap orang ramai juga boleh beri kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.