Tangisan OKU Terabai, Sering Pecah Keheningan Malam

KOTA BHARU: Tangisan wanita orang kurang upaya (OKU) yang didakwa diabaikan adik perempuannya, sering sayup kedengaran sejak beberapa minggu lalu oleh penduduk sekitar Taman Seri Setia di sini.

Dalam keheningan malam, tangisan mangsa, Wan Hasmarina Wan Mohammad, 44, jelas kedengaran memandangkan, namun penduduk sekitar menyangkakan ia adalah suara bayi atau kanak-kanak menangis.

Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila sekumpulan kanak-kanak kawasan itu melalui jalan belakang rumah yang dihuni dua beradik terbabit kira-kira jam 9 malam tadi sebelum bertindak ‘mengintai’ bahagian dapur rumah melalui cermin tingkap.

Jiran yang mahu dikenali sebagai Amri, 46, mendakwa kanak-kanak itu melihat kelibat mangsa di ruang dapur dalam keadaan persekitaran yang kotor dan segera memaklumkan kepada penduduk.

“Saya dan beberapa penduduk bergegas ke bahagian belakang rumah itu dan cuba membuka cermin tingkap yang tidak berkunci.

“Sebaik tingkap itu terbuka, bau yang sangat busuk dapat dihidu dan keadaan mangsa sangat teruk dengan sampah merata-rata serta najis di sekitarnya.

“Fizikal mangsa juga kurus kering dan sangat lemah serta hanya mampu menggerakkan jari sahaja,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Setia, di sini hari ini.

Pihak polis segera dihubungi dan mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan difahamkan mangsa kini sedang dirawat di Jabatan Psikiatri.

Amri berkata, dia dan penduduk sekitar langsung tidak menyangka berlaku kes pengabaian sebegitu kerana perwatakan adik perempuan mangsa yang berusia 40 tahun yang baik.

Wanita itu dikatakan hanya bertegur sapa dengan beberapa penduduk saja dan ada memberitahu mengenai kakaknya yang tidak sihat.

“Boleh dikatakan setiap hari akan kedengaran alunan bacaan al-Quran menerusi radio dari rumah itu.

“Adik perempuan mangsa juga sering ke madrasah berhampiran untuk belajar mengaji al-Quran dan atas faktor itu kami tidak menjangka kejadian ini akan berlaku,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup, berkata pihaknya akan membuat siasatan terperinci mengenai kes itu.

“Biasanya dalam kes seperti ini (pengabaian), kita akan melihat kepada kemampuan waris untuk menjaga mangsa.

“Jika mampu, tanggungjawab menjaga itu akan diteruskan dan jika sebaliknya jabatan kami akan melihat perkara itu namun perlu melalui beberapa prosedur sebelum keputusan diambil,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.