Ibu Kandung Sepasang Beradik Dicari

SABAK BERNAM: Ibu kandung sepasang beradik dirayu menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Sabak Bernam dengan segera bagi melancarkan urusan penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Pelindung Kanak-kanak Daerah Sabak Bernam, Maszuki Mat Zin, berkata pada 2 April lalu, pihak Hospital Teluk Intan, Perak, merujukkan kes dua kanak-kanak itu, Nashira Bibi Mastan, 12, dan adiknya Yosshen, dua tahun 11 bulan, kepada Pelindung Kanak-kanak Sungai Besar.

Dua beradik itu kemudian diletakkan bawah jagaan ibu saudara mereka selaras peruntukan Seksyen 25 (2) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016.

Bagaimanapun, katanya, urusan penjagaan kanak-kanak terbabit tidak dapat dijalankan dengan sempurna kerana ibu kandung mereka, Nur Rahimah Abdullah, belum ditemui hingga kini.

“Pihak kami mengambil keputusan memohon jasa baik media membantu mengesan ibu kandung dua beradik ini sebelum menyerahkan hak penjagaan kepada ibu saudara mereka jika usaha itu masih gagal,” katanya.

Maszuki berkata, perbicaraan kes kanak-kanak terbabit di mahkamah sudah ditetapkan pada 10 Mei depan, justeru berharap ibu kandung mereka dapat ditemui sebelum atau pada 1 Mei bagi kelancaran proses berkenaan.

“Sesiapa yang ada maklumat atau menemui ibu kandung dua beradik ini, dimohon segera menghubungi pihak kami melalui talian 03-32242304 atau 03-32244873,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.