Jenazah Dr Fadi Dibawa Pulang Ke Negara Asal

KUALA LUMPUR – Jenazah Dr Fadi Mohammed Al Batsh, pensyarah dan imam warga Palestin yang ditembak mati ketika menuju ke surau di Setapak pada Sabtu lalu, akan dibawa pulang ke negara asalnya hari ini.

Ketua Jabatan Sumber Manusia Universiti Kuala Lumpur – British Malaysian Institute (UniKL BMI), Arafiah Aman berkata, jenazah akan dibawa dari Hospital Selayang pada kira-kira 12 tengah hari ke Surau  Medan Idaman, Setapak untuk solat jenazah selepas Zuhur.

“Jenazah kemudian akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk diterbangkan ke Kaherah, Mesir pada kira-kira 7 malam,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, jenazah Dr Fadi akan dibawa melalui jalan darat ke Gaza yang bersempadan dengan Mesir.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh Duta Besar Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar H Al Agha dan beliau juga memberitahu bahawa Kerajaan Mesir sudah memberi ‘lampu hijau’ tentang pergerakan ini,” kata Arafiah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, proses mendapat kelulusan bagi membawa jenazah Allahyarham ke Gaza dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi di Mesir.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Sabtu lalu, Allahyarham Dr Fadi, 35, ditembak mati ketika dalam perjalanan menuju ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.

Polis telah mengedarkan lakaran wajah dua suspek yang dikaitkan dengan kejadian itu di semua pintu masuk dan keluar negara dalam usaha mengesan mereka.

Sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kes tembak itu telah ditemui tengah hari tadi dekat tasik Danau Kota, Setapak. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.