Program Pemutihan Cukai Jalan JPJ Dapat Sambutan Menggalakkan

KEMAMAN – Seramai 780 pemilik kenderaan di Terengganu memanfaatkan program pemutihan baharui cukai kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan membuat pembayaran lebih RM24,000 sejak Mac lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata 212 pemilik kereta dan 568 pemilik motosikal telah membuat pembayaran menerusi program itu.

“Kita dapati program pemutihan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna dan rata-rata mereka meluahkan rasa syukur apabila dapat memperbaharui cukai kenderaan yang sudah lama tamat tempoh tanpa perlu membawa kenderaan untuk pemeriksaan.

“Ini adalah peluang bagi mereka yang mempunyai kekangan masa kerana kesibukan kerja dan ianya membantu memudahkan urusan mereka yang tertangguh sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Program pemutihan itu adalah bagi membolehkan pemilik kenderaan gagal membaharui cukai jalan tidak melebihi tiga tahun berbuat demikian tanpa perlu melalui prosedur biasa. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.