Tamatkan Kontrak, Bayar Baki Gaji – Piya

KUALA LUMPUR: “Kalau sudah tidak perlukan saya, tamatkan kontrak dan bayar baki gaji saya hingga November ini.”

Kata dua itu diberikan oleh Badhri Radzi atau Piya kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berhubung kemelut yang sedang melanda antaranya dengan persatuan itu.

Menurut Badhri, dia sudah lama bersabar dan cuba menutup mulut daripada membuat sebarang kenyataan bagi mengelak konflik lebih serius namun tindak-tanduk KAFA kebelakangan ini menyebabkan dia tidak mampu berdiam diri.

“Saya benar-benar kecewa dengan layanan KAFA terutama kenyataan Presiden (Bibi Ramjani Ilias Khan) melalui media yang menyatakan khidmat saya tidak diperlukan sedangkan saya tidak pernah diberitahu mengenai hal ini.

“Saya ada maruah, kalau benar mereka mahu menggugurkan saya daripada pasukan, apa salahnya mereka memanggil serta berbincang dengan saya elok-elok bukannya melayan saya sebegini.

“Kalau semasa meminta saya menyambung kontrak awal musim lalu mereka boleh berbincang, mengapa sekarang tidak?

“Saya minta kepada KAFA, kalau tidak mahu saya lagi, lepaskan secara profesional dengan syarat bayar gaji saya penuh hingga November ini kerana kontrak saya masih berbaki hingga bulan itu,” tegas Badhri.

Bekas ketua pasukan itu juga menegaskan dia akan menolak jika KAFA bercadang meminjamkannya kepada pasukan lain pada jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Kalau mereka mahu buang saya, buang terus supaya senang saya mengatur karier saya selepas itu,” ujarnya.

Badhri berkata, walaupun namanya sudah dicanangkan tidak ada dalam perancangan jurulatih, Fajer Ebrahim namun sebagai pemain yang masih mempunyai kontrak, dia tetap turun menjalani latihan seperti biasa.

“Saya masih pemain Kelantan dan akan memberi komitmen 100 peratus dalam latihan walaupun mungkin tidak akan diturunkan lagi dalam perlawanan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.