Demikian harapan seorang generasi pertama peneroka Felda Lasah di sini, Ahmad Hussin, 76, apabila ditanya mengenai terdapatnya usaha pembangkang yang menghasut peneroka.

Ahmad yang juga Ketua Pe­neroka Felda Lasah berkata, peralihan kerajaan hari ini mengundang risiko kepada negara dengan pelbagai kemungkinan termasuk kepada tanah rancangan Felda.

Katanya, pelbagai perkara boleh berlaku jika pihak lain memegang kuasa memerintah berbanding kerajaan hari ini yang mewujudkan Felda.

“Saya risau jika pembangkang memerintah seperti di Perak pada 2008 apabila mereka memberi tempoh pajakan tanah 999 tahun kepada kampung baharu.

“Minta dijauhkan daripada semua itu jika kuasa memerintah sekarang terlepas kepada pembangkang, orang Melayu termasuk di Felda akan terpinggir,” katanya.

Sebagai peneroka generasi pertama di Felda Lasah, Ahmad merasai kepayahan untuk melihat Felda maju seperti hari ini.

Menurutnya, kepayahan itu tidak dirasai oleh generasi baharu Felda menyebabkan ada segelintir daripada mereka terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang memburuk-burukkan Felda.

Katanya, jumlahnya di Felda Lasah tidak ramai, namun jika tidak diberikan kefahaman dibimbangkan ramai akan terpengaruh.

“Apabila diceritakan mengenai kepayahan kami generasi pertama meneroka Felda, biasanya golongan muda ini akan berkata ‘itu dahulu’.

“Tapi harus diingatkan bahawa jika tiada kerja keras orang dahulu, maka belum tentu kesenangan hari ini dapat dinikmati oleh mereka,” kata.

Menurutnya, Felda Lasah boleh menjadi contoh kepada Felda di tempat lain bukan sahaja dari aspek kemajuan tetapi kesetiaan kepada kerajaan sehingga sukar ditembusi pembangkang.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat Felda termasuk generasi baharu supaya mempertahankan Felda masih tinggi.

Katanya, generasi baharu Felda masih mengenang jasa yang kerajaan diberikan kepada orang Melayu sehingga dapat menikmati hidup selesa hari ini.

“Generasi baharu Felda hari ini faham erti kepayahan kerana mereka mengikut emak bapa me­reka melakukan kerja-kerja ladang,” katanya.

Sebagai antara 387 peneroka asal Felda Lasah yang masih tinggal, Ahmad mahu Felda kekal sebagai permata orang Melayu.

“Kepada generasi baharu Felda, jadikan Felda sebagai pusaka emak ayah, kalau boleh lebih baik daripada apa yang kami capai hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE