Atlet Gagal Doping Digantung Sementara

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan atletnya yang positif ujian doping sebelum ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018, digantung sementara daripada aktiviti sukan berkenaan berkuat kuasa serta merta.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail berkata, atlet terbabit juga berdepan hukuman penggantungan maksimum sehingga empat tahun sekiranya didapati bersalah.

“Hukuman denda itu bagaimanapun bergantung kepada dadah yang diambil kerana WADA (Agensi Anti-Doping Dunia) sudah menetapkan garis panduan.

“Dia (positif) anabolik steroid, tetapi kena tahu ia berada dalam kumpulan yang mana satu. Kita juga kena tunggu (keputusan) sampel B untuk melakukan pendengaran kes dan daripada situ, kita akan dapat tahu keputusan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, hari ini.

Menurut Abu Hanapah, atlet terbabit juga sudah mengemukakan permohonan untuk mencabar keputusan sampel A dengan menjalankan ujian sampel B dan keputusannya hanya diketahui dalam tempoh dua minggu.

“Atlet mempunyai hak dan apabila ditanya, dia mahu membuka sampel B dan PABM akan buat pengumuman sebaik saja keputusan diketahui nanti.

“Itu prosedur dan apa yang boleh kami maklumkan, memang (atlet) angkat berat yang kena doping itu tetapi ia berlaku dalam ujian dalaman, bukan di Sukan Komanwel,” katanya.

Terdahulu, persoalan sama ada terdapat kes atau tidak atlet Sukan Komanwel gagal doping, akhirnya terjawab apabila Dr Ramlan mengesahkannya.

Beliau turut memaklumkan atlet terbabit adalah daripada sukan angkat berat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.