“Di Mana Yang Over” – Soal Jaa Suzuran Selepas Dikritik Gagal Jadi Hos ‘Meletop’

PENYAMPAI radio Era FM, Jaa Suzuran menganggap kritikan netizen terhadap cara dia mengacarakan program Meletop malam Selasa lalu sebagai satu semangat untuk jadi lebih baik.

Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 24, berkata, dia masih baharu dalam industri seni dan melalui proses pembelajaran terutamanya pengacaraan.

“Saya sudah jangka akan dikecam kerana Meletop satu program besar dan digandingkan pula dengan Neelofa sudah tentu saya rasa gementar.

“Diberi peluang menggantikan Nabil Ahmad pada minggu ini adalah satu peluang besar bagi saya sebagai orang baru,” ujarnya kepada mStar Online.

Jaa mengulas kritikan penonton program berkenaan yang menganggap dia tidak layak mengendalikan rancangan yang bersiaran langsung setiap Selasa itu.

 

Jaa ambil kritikan cara positif.

Menurut netizen, penyampai ini terlalu berlebih-lebihan dan menjengkelkan ketika mengacarakan program satu jam itu.

Sementara itu, Jaa berkata, dia tidak patah semangat dan menganggap orang ramai masih tidak mengenalinya.

“Saya bawa cara saya pada malam itu, kalau mereka kata saya over kat mana yang over itu? Mereka tidak kenal saya.

“Tapi tidak mengapa, saya ambil semua komen itu sebagai sesuatu yang membina untuk saya perbaiki pada masa akan datang.

“Mungkin saya terbawa-bawa cara penyampaian di radio ke program televisyen membuatkan orang menyangka saya berlebih-lebihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jaa berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang memberi respons sama ada baik dan buruk.

Jaa menganggap peluang yang diberikan untuk menjadi pengacara undangan program popular itu sebagai satu pencapaian baharu dalam kerjaya seninya.

Meletop bersiaran setiap malam Selasa dan dihoskan oleh Neelofa dan Nabil Ahmad. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.