Jalan 1/65A Dinamakan Jalan Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, meluluskan cadangan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menukar nama Jalan 1/65A ,off Jalan Tun Razak di sini sebagai Jalan Bernama.

Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, berkata surat kelulusan itu diterimanya hari ini dan beliau terlebih dahulu membuat pengumuman itu kepada anggota Lembaga Pengelola agensi berita itu pada mesyuarat mereka pagi ini.

“Anggota lembaga mengalu-alukan berita gembira itu dan menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada Tengku Adnan bagi keputusan bersejarah dibuat beliau itu,” katanya.

Ibu Pejabat Bernama, Wisma Bernama, adalah bangunan tinggi yang pertama dibina di sepanjang jalan berkenaan dan agensi berita itu telah beroperasi di bangunan itu sejak 1984.

Bangunan lain termasuk Perpustakaan Negara dibina kemudian.

Azman telah mencadangkan perubahan nama itu dalam ucapan beliau pada majlis makan malam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Bernama pada tahun lalu.

Ini disusuli dengan perjumpaan pada Mac lalu oleh satu pasukan daripada Bernama dengan Tengku Adnan dan sepucuk surat diserahkan kepada beliau berhubung permohonan itu.

“Pada perjumpaan itu, menteri memberi jaminan kepada kami bahawa beliau akan memberikan pertimbangan sebaiknya terhadap cadangan itu yang disifatkan sebagai wajar. Tengku Adnan adalah tokoh yang berpegang pada janjinya dan hari ini kami menerima kelulusan rasmi tanpa kerenah birokrasi” katanya.

Sementara itu, lorong bersebelahan Jalan 2/65A yang diberi nama baharu sebagai Jalan Bernama itu turut ditukar nama sebagai Lorong Bernama.

Seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika dihubungi, berkata tindakan segera akan diambil untuk menggantikan papan tanda nama lama jalan itu kepada Jalan Bernama dan Lorong Bernama.

Azman menyifatkan penamaan jalan itu bersempena dengan nama Bernama sebagai hadiah “paling bernilai” dan adalah pengiktirafan kepada staf dahulu, kini dan masa depan Bernama dan legasi terhadap sumbangan agensi berita itu dalam pembinaan negara selama lebih lima dekad.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan untuk ini buat selama-lamanya,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.