Pembunuh Dr Fadi Sewa Proton Saga Sejak 3 Bulan

KUALA LUMPUR: Suspek pembunuhan pensyarah Palestin, dilaporkan melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga selepas meninggalkan motosikal di Taman Tasik Danau Kota.

Kereta yang disewa suspek itu ditemui sekitar jam 2 pagi tadi di Taman Tasik Ampang Hilir, di sini, berdasarkan maklumat awam dan siasatan yang dijalankan.

Pemeriksaan mendapati kereta berkenaan disewakan kepada suspek sejak tiga bulan lalu oleh pemiliknya yang juga rakyat tempatan.

Sebelum ini suspek turut menyewa sebuah motosikal jenis Kawasaki Versys, yang digunakan ketika menembak mati Dr Fadi M R AlBatsh Fatma, di Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak, di sini, juga sejak tiga bulan lalu.

Suspek kemudian meninggalkan motosikal berkenaan selepas membunuh mangsa di pusat perniagaan Jalan Danau Niaga, Danau Kota, di sini, sebelum melarikan diri dengan kereta Proton Saga.

Sumber berkata, kereta itu dikesan berdasarkan pemantauan menyeluruh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Danau Niaga.

“Hasil penelitian CCTV yang dijalankan membawa kepada petunjuk suspek meninggalkan lokasi motosikal itu diletakkan dan menaiki kereta.

“Berdasarkan siasatan susulan yang dibuat, pemilik kereta memaklumkan keretanya diletakkan di kawasan parkir Taman Tasik Ampang Hilir,” katanya hari ini.

Kereta berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, untuk pemeriksaan lanjut oleh Unit Forensik Polis Kuala Lumpur.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ketika ditanya mengenai penemuan kereta berkenaan, memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Saya tidak dapat memberikan butiran lanjut namun pihak kami sedang menjalankan siasatan secara terperinci.

“Segala maklumat berhubung kes ini akan diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun,” katanya.

Mazlan ditemui dalam Majlis Rasmi Ucapan Takziah kepada Dr Fadi di Kedutaan Palestin, di sini, bersama beberapa pegawai kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, serta Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif.

Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Ketua Polis Negara kepada adik Dr Fadi serta Duta Besar Palestin, Datuk Dr Anwar H Al Agra. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.