Bukti Jurulatih Tempatan Lebih Bagus

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak terlalu mengagungkan jurulatih luar, sebaliknya memberi lebih penghargaan dan peluang kepada jurulatih tempatan.

Itu reaksi Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim ketika diminta mengulas mengenai kejayaan empat jurulatih tempatan yang membawa pasukan masing-masing mara ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini.

Menurut Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu, pencapaian yang diraih jurulatih tempatan itu menjadi petunjuk betapa mereka juga memiliki mentaliti dan taktikal lebih baik menerusi kemenangan yang dilakar oleh barisan pemain mereka ke atas pasukan lawan.

“Jurulatih tempatan ada kelebihan kerana kalau kita lihat, semuanya sudah ‘masak’ dan memiliki pemahaman yang luas mengenai bola sepak tempatan sekali gus membuktikan mereka tahu taktikal mengikut keperluan untuk menang.

“Kadangkala jurulatih import memiliki ego tersendiri dan tetap mahu gunakan falsafah yang sudah diterapkan tetapi tidak sesuai dengan perlawanan yang akan diharungi.

“Ini menunjukkan mereka tahu apa keperluan yang perlu diterapkan untuk memenuhi kehendak perlawanan jangka pendek seperti Piala FA dan saya berpendapat pencapaian ini akan mengubah tanggapan bahawa jurulatih tempatan setanding dengan jurulatih import,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat pasukan yang mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA musim ini dibimbing oleh jurulatih tempatan iaitu Dollah Salleh (Pahang), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Datuk K Rajagobal (PKNS FC) dan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir (Selangor).

Malah, tiga daripadanya menundukkan jurulatih import yang menyaksikan Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Raul Longhi sementara PKNS FC mengetepikan Perak di bawah kendalian Mehmet Durakovic dan Selangor membenam cabaran anak buah Fabio Maciel (Kuala Lumpur).

Mengulas lanjut mengenai isu sama, Zulakbal turut berpendapat jaringan luas yang dimiliki jurulatih tempatan digunakan sebaik mungkin dalam usaha untuk melakukan pelan terbaik bagi membendung taktkal pasukan lawan.

“Mungkin mereka melakukan risikan dan mendapatkan maklumat daripada setiap pasukan, jadi mereka dapat merencanakan perancangan yang terbaik untuk mengharungi sesuatu perlawanan.

“Ini membuktikan jurulatih tempatan juga bijak malah mungkin lebih baik berbanding jurulatih luar,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.