Cuaca Pagi Esok Diramal Cerah

PUTRAJAYA: Cuaca pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok diramal cerah pada sebelah pagi di hampir keseluruhan kawasan Parlimen di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari, berkata hanya empat daripada 222 kawasan Parlimen dijangka mendung dan hujan pada sebelah pagi.

Beliau berkata, empat kawasan Parlimen itu adalah Semporna, Kalabakan, Silam dan Tawau, masing-masing di Sabah.

“Suhu pada hari penamaan calon di seluruh negara diramal sekitar 23 hingga 34 darjah Celsius dengan cuaca cerah di sebahagian besar kawasan Parlimen.

“Menerusi ramalan ini, proses penamaan calon pada sebelah pagi dijangkakan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan berdasarkan faktor keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, sebahagian besar kawasan Parlimen seluruh negara dijangka mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang.

“Berdasarkan ramalan, hanya Terengganu dijangka cerah pada sebelah pagi dan petang,” katanya.

Alui berkata, ramalan lengkap keadaan cuaca di setiap Parlimen sudah dimuat naik di laman web MetMalaysia sebagai rujukan kepada orang ramai.

Esok adalah hari penamaan calon PRU-14 mewakili parti masing-masing di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali DUN Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon bermula dari jam 9 hingga 10 pagi untuk proses penghantaran borang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.