Dira Bangkit Jawab Wardina Yang Sokong DAP

PETALING JAYA: Kenyataan Wardina Saffiyah yang mempertahankan perjuangan DAP menarik perhatian exco Puteri Umno apabila menganggap personaliti televisyen itu tidak memahami perjuangan parti politik berkenaan.

Khaidhirah Abu Zahar yang lebih dikenali sebagai Dira tampil menyelar Wardina yang didakwa mengambil mudah dengan apa yang terjadi walaupun DAP sebelum ini kerap memperkecil hak Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Saya kira Wardina anggap perkara ini remeh kerana tiada falsafah maruah bangsa dan agama di parti sebelah sana. Tetapi bagi kami disini (Umno dan Barisan Nasional) akan tetap teguh pada perjuangan kami agar tidak runtuh dek kejarkan kuasa,” ujar anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ishnin ini.

Dira yang juga selebriti negara berkata, walaupun belum memegang tampuk pemerintahan negara, DAP sudah menunjukkan belang apabila berani mencabar orang Islam dengan menolak Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Malah kata beliau, isu memperlahankan laungan azan di Pulau Pinang seolah-olah memperkecilkan hak umat Islam negara ini.

“Jika tidak, masakan DAP berani menyebut Malaysian Malaysia, slogan yang agak panas saya kira dimana falsafahnya mungkin terkandung bahawa Islam bukan agama rasmi sebaliknya semua agama patut disamaratakan.

“Ini bermaksud golongan murtad perlu diberi hak, golongan liberalis perlu dibebaskan, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas mencabar undang-undang agama Islam diberi sanjungan. Inikah yang Wardina mahu?” soalnya lagi.

Dira berkata demikian bagi mengulas kenyataan Wardina di laman Facebook baru-baru ini yang meluahkan rasa kurang senang terhadap usaha menjadikan DAP sebagai modal untuk menakutkan umat Islam.

Wardina yang pernah membintangi sitkom Spanar Jaya  turut menggesa semua pihak supaya tidak menggunakan sentimen agama dalam berpolitik.

“Tidak saya tidak percaya DAP mahu mengambil alih dan tidak hormat Islam. Saya percaya ramai yang hormati Muslim dan mereka sedar ini adalah negara Islam.

“Saya tidak percaya mereka jahat sepertimana agama lain tidak anggap Muslim jahat. Sekarang boleh henti guna DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam,” tulisnya.

Rata-rata netizen mempertikai kenyataan Wardina dan memohon supaya dia mengambil kira semua perbuatan DAP dan juga penyokongnya terhadap umat Islam.

Malah ada juga yang mahukan Wardina membaca komen-komen penyokong DAP di laman Facebook sebuah portal berita politik yang secara terang-terangan menghina Islam dan orang Melayu. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.