Pakistan Penjara Pesalah Pertama Pornografi Kanak-kanak

LAHORE : Seorang lelaki menjadi rakyat pertama negara itu yang disabitkan dengan kesalahan pornografi kanak-kanak selepas dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, semalam.

Sadat Amin didapati bersalah oleh mahkamah Lahore atas jenayah pornografi kanak-kanak secara global yang merentasi Eropah dan Amerika Syarikat.

Pornografi kanak-kanak termasuk serangan seksual ke atas mangsa di bawah umur disenaraikan sebagai satu jenayah di bawah undang-undang Pakistan sejak Mac tahun lalu, susulan pindaan rang undang-undang di dalam Senat.

Menurut Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA), Sadat ditahan berdasarkan aduan dibuat Kedutaan Norway, April tahun lalu.

Pasukan penyiasat menemui 650,000 foto dan video pornografi kanak-kanak dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dia turut didenda sebanyak 1.2 juta rupees (RM39,150) oleh mahkamah di timur Lahore itu.

Pindaan yang dibuat ke atas Kanun Keseksaan Mac tahun lalu meletakkan pemerdagangan manusia sebagai satu jenayah di Pakistan dan menaikkan had umur tanggungjawab jenayah dari tujuh kepada 10 tahun.

Menerusi pindaan itu, pesalah yang disabitkan dengan jenayah serangan seksual ke atas mangsa bawah umur kini boleh dipenjara sehingga tujuh tahun berbanding hanya menjenayahkan rogol sebelum ini. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.