Suspek Bunuh Fadi Sewa Rumah Inap

KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan pensyarah warga Palestin, dikesan mendiami sebuah rumah inap (homestay) di Jalan Ipoh, di sini, sejak tiga bulan lalu.

Suspek dipercayai menyewa tingkat atas rumah dua tingkat yang terletak di Kampung Batu, di sini, sepanjang melakukan ‘kerja memantau’ pergerakan sasarannya iaitu Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Sumber yang tinggal di kawasan berhampiran dengan rumah inap itu berkata, sepanjang menyewa kediaman berkenaan, sebuah motosikal jenis Kawasaki Versys dan kereta Proton Saga BLM, turut diletakkan di ruang parkir rumah itu.

“Sepanjang berada (menyewa) di sini, lelaki terbabit (suspek) didapati hanya kerap membawa keluar motosikal jenis Kawasaki Versys itu pada waktu dan hari tertentu, manakala kereta Proton Saga, hanya didapati keluar selepas 21 April lalu.

“Selain itu, dia juga kerap berada di kediamannya di tingkat atas dan jarang keluar untuk bertemu atau berbual dengan jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui tengah hari tadi.

Beliau berkata, pada hari kejadian pembunuhan Dr Fadi, beberapa penduduk menyedari suspek keluar dari rumah inap itu awal pagi berdasarkan bunyi motosikalnya.

“Kami tidak berasakan sebarang benda yang mencurigakan sehinggalah gambar suspek tersebar dan didedahkan oleh pihak media.

“Sejak hari kejadian, kami langsung tidak langsung melihat kelibatnya, namun tidak menolak kemungkinan pemilik rumah itu mengenali identiti suspek berkenaan kerana melakukan urusan sewa rumah,” katanya.

Wartawan NSTP yang meninjau ke rumah itu hari ini mendapati kediaman itu tidak berpenghuni.

LALUAN masuk ke rumah inap yang disewa suspek kes bunuh pensyarah warga Palestin di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

LALUAN masuk ke rumah inap yang disewa suspek kes bunuh pensyarah warga Palestin di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

Beberapa penduduk memaklumkan, pihak polis sudah menjalankan siasatan ke atas rumah inap itu sejak Selasa lalu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat, suspek tidak mendedahkan lokasi tepat rumah sewanya itu kepada pemilik motosikal dan kereta yang disewa daripada rakyat tempatan sejak Februari lalu.

Suspek sengaja memberi lokasi kedudukan melalui aplikasi Waze yang tidak tepat kepada penghantar motosikal dan kereta yang disewanya.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan pemilik dua kenderaan yang disewa tahu lokasi sebenar kediamannya.

“Meskipun begitu, suspek sudah melunaskan semua bayaran sewa motosikal dan kereta untuk tempoh tiga bulan sebelum memaklumkan pemilik untuk mengambil semula kenderaan yang disewanya di lokasi tertentu, termasuk Taman Tasik Ampang Hilir,” kata sumber. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.