3 Calon Kemuka Borang Pencalonan Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Tiga calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR mengemukakan borang pencalonan mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga tempoh penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi calon pertama mengemukakan borang berkenaan ketika tempoh penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna, Presint 9 di sini.

Ia kemudian diikuti calon PAS, Zainal Abidin Kidam yang mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.12 pagi dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat pada jam 9.20 pagi.

Borang pencalonan berkenaan dikemukakan kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Datuk Azizi Ahmad Termizi.

Ketika ini, tempoh bantahan sedang berlangsung selama sejam sehingga jam 11 pagi nanti.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya tiba pada jam 8.15 pagi.

Beliau berarak bersama kira-kira 5,000 penyokongnya sambil berselawat menuju ke Pusat Penamaan Calon.

Samsu Adabi tiba pada jam 8.30 pagi, diikuti Zainal Abidin pada jam 8.50 pagi, masing-masing dengan lebih 100 penyokong mereka. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.