Anak Ikan? Merepeklah! – Mas Khan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mas Khan, menyifatkan gosip kononnya dia mempunyai hubungan istimewa atau menjadi ‘anak ikan’ kepada penerbit Datuk A Aida sebagai merepek.

Terkejut mendengar persoalan terbabit, Mas, 24, berkata dia dan Aida memang rapat memandangkan bapanya dan penerbit itu berkawan baik. Justeru, tidak mungkin mereka boleh menjalinkan hubungan cinta.

“Anak ikan? Merepeklah! Hubungan kami tidak ada kena-mengena dengan perkara itu.

“Saya selalu diberikan peluang kerja oleh produksi Aida kerana bakat yang dimiliki. Selain itu, dia turut menjalankan perniagaan berkaitan pelaburan bersama keluarga saya.

“Aida sendiri teman baik bapa saya. Malah, saya juga sudah memiliki kekasih hati,” katanya kepada BH Online selepas sidang media filem Ratu Kala Jengking, di sini hari ini.

Mas berkata demikian ketika mengulas gosip kononnya dia menjalinkan hubungan dengan Aida apabila mereka sering dilihat bersama di beberapa acara hiburan.

Malah, pemuda terbabit juga diberi kepercayaan menjadi penerbit eksekutif bagi beberapa projek drama keluaran A Aida Production, sekali gus dianggap ‘anak ikan’ wanita itu.

Mas juga berkata, sebelum ini dia pernah dituduh membodek Aida kerana sering diberikan tawaran berlakon oleh syarikat milik produser itu.

“Prinsip Aida mudah saja. Jika mempunyai disiplin yang bagus, dia akan menawarkan kita peluang kerja bagi projek lain pula.

“Ramai yang tuduh saya membodek Aida, sedangkan mereka lupa disiplin adalah perkara penting yang membuatkan seseorang penerbit senang bekerja dengan kita,” tegasnya.

Aida, 47, yang ditemui pada majlis sama turut terkejut dengan gosip berkenaan dan menganggap ia sesuatu yang lucu.

“Mana ada (hubungan istimewa)? Bapa dia kawan baik saya. Nak kena potong kepala ke?” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.