Nadia Brian Terpaksa Belajar Silat Untuk Ratu Kala Jengking

KUALA LUMPUR: Pelakon Nadia Brian memberitahu antara cabaran untuk menjayakan watak Siti menerusi filem Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda apabila dia perlu belajar silat untuk aksi pertarungan.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 27, berkata dia tidak menggunakan sebarang senjata untuk mempelajari seni mempertahankan diri itu.

“Saya perlu belajar silat sebab boleh dikatakan kebanyakkan babak yang melibatkan watak Siti itu memerlukan saya bersilat dan berlawan.

“Tapi saya tidak perlu guna senjata untuk berlawan sebab dalam filem itu saya dah ada kuasa.

“Saya mula memasuki kelas latihan seni mempertahankan diri itu sejak dua minggu lalu. Alhamdulillah sepanjang belajar itu saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Sekadar sakit badan saja,” ujarnya.

 

Nadia ditemui ketika majlis doa selamat dan sidang media filem Ratu Kala Jengking:Puteri Keranda di Wisma Rampai, di sini pada Jumaat.

Nadia turut meluahkan rasa teruja apabila menerima tawaran memegang watak utama dalam filem buat kali pertama.

“Saya pernah berlakon filem tapi hanya watak sampingan sahaja. Jadi bila dapat tawaran filem ini saya rasa teruja.

“Sebab ini kali pertama dapat watak utama dalam filem. Tambahan pula, watak Siti ini sangat berat dan lain daripada watak yang pernah saya bawa,” ujarnya.

Selain Nadia, filem arahan pengarah Bade Azmi ini turut dijayakan 36 orang pelakon antaranya Mas Khan, Amar Ashraf, Fizz Fairuz, Firman, Eyra Hazali, Raja Azmi dan Fauziah Nawi.

Filem pertama keluaran A. Aida Productions Sdn Bhd itu akan memulakan penggambaraan di Kota Tinggi, Johor Bahru bermula pada 1 Mei depan selama 35 hari.

Ia dijangka akan berada di pawagam pada awal tahun hadapan. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.