Najib ditahan, berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram hari ini

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditahan sebaik tiba di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman di Menara KPJ di sini, pagi Khamis sebelum didakwa dengan 21 pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM2.8 bilion petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan dibuat pasukan siasatan Amla dan Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Beliau akan dikemukakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan oleh timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001,” kata Noor Rashid melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut beliau, sebanyak 21 pertuduhan melibatkan 681 juta dollar Amerika (RM2.8 bilion) telah disediakan.

“Sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

“Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Terdahulu, menurut laporan The Star, Najib tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas ditahan semalaman di lokap SPRM pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu tiba pada pukul 9.20 pagi Khamis sambil diiringi polis.

Dipercayai beliau hadir untuk merekod kenyataan di ibu pejabat tersebut sebelum dibawa ke mahkamah.

Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada Julai ketika beliau didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah amanah dan satu tuduhan menerima rasuah bernilai RM42 juta.

Bulan lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.