FGV dijangka lupus 11 anak syarikat

KUALA LUMPUR 21 Sept. – FGV Holdings Berhad (FGV) kemungkinan melupuskan 11 anak syarikatnya sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula kumpulan.

Menurut sumber, langkah itu dibuat pada mesyuarat lembaga pengarah baru-baru ini memandangkan syarikat-syarikat berkenaan adalah perniagaan bukan teras FGV.

“Antara syarikat terbabit termasuklah Felda Engineering Services Sdn. Bhd. dan Felda Properties Sdn. Bhd., manakala tiga lagi iaitu Felda Security Services Sdn. Bhd,, Felda Prodata System Sdn. Bhd. dan Felda Travel Sdn. Bhd. akan distrukturkan semula.

“Anak syarikat lain pula setakat ini belum lagi dikenal pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan laman web FGV, kumpulan perladangan itu mempunyai 37 anak syarikat yang terletak di bawah tiga struktur utama iaitu sektor perladangan, logistik dan perniagaan sokongan dan gula.

FGV mempunyai lebih 19,000 pekerja termasuk anak syarikat dan juga syarikat usaha sama dan sekutu.

Tiga tahun lalu, FGV pernah dilaporkan dalam pe­rancangan untuk melupuskan beberapa anak syarikat yang merupakan bukan perniagaan terasnya.

Semalam, Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Me­gat Mohd. Nor berkata, FGV memerlukan pendekatan sistematik sebagai sebahagian pelan pemulihan dan melaksanakannya melalui keupayaan mereka dan cara bagaimana organisasi itu distruktur,

Menurut beliau, FGV juga harus memberi keutamaan kepada isu terkini yang melanda syarikat tersebut dan telah melihat pelan perancangan lima tahun syarikat.

Felda memiliki 33.7 peratus pegangan dalam FGV.

Selasa lalu, FGV mengumumkan peletakan jawatan Datuk Zakaria Arshad sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Ogos lalu, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, Lembaga Pengarah mengakui bahawa FGV bertanggungjawab kepada semua pemegang saham untuk menjana dan menghasilkan nilai.

Katanya, walaupun FGV sentiasa memenuhi syarat Perjanjian Sewa Tanah (LLA) dengan Felda, Lembaga Pengarah berpandangan bahawa terdapat ruang penambahbaikan yang besar dari segi operasi dan pe­ngurusan kewangan.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.