Isu Felda: Saya ditahan SPRM, tapi tak didakwa, kata Isa Samad

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, isu Felda tidak menjejaskan peluangnya untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson, bulan depan.

Ini kerana katanya, walaupun pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu Felda, tetapi sehingga kini beliau tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Kalau tengok, isu saya apa? Pasal SPRM, setakat hari ini tak ada apapun, tanah (di Jalan) Semarak polis kata tak ada apa.

“Saya beranggapan isu saya itu hanyalah isu mainan politik menjelang pilihan raya umum ke-14 yang lepas, sekadar untuk mengembar-gemburkan Felda.

“Terserah kepada pengundi Port Dickson untuk menilai kerana mereka lebih mengenali saya,” katanya dalam ceramah pertama di Kampung Bagan Pinang, malam ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu berkata, calon lain mempunyai isu lebih banyak berbanding dirinya.

“Kalau nak kira isu, ada calon lain yang lebih banyak isu. Berderet isunya, banyak betul isunya boleh buka 1 kitab.”

Isa akan berdepan 6 calon lain, iaitu calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan 4 calon bebas – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen pada 13 Oktober ini.

Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Bekas pengerusi Felda itu ditahan SPRM pada Ogos 2017 bagi membantu siasatan kes pembelian 2 hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corportion (FIC) antara 2014 dan 2015.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di London dan Kuching yang dipercayai dibeli pada hargalebih tinggi daripada pasaran, mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Pada 21 Disember 2017, Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah di Jalan Semarak yang dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi mencurigakan.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.

Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 transaksi jual beli antara Felda dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Pada 13 Disember tahun lalu, polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan Isa disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.

SPSB kemudiannya bersetuju mengembalikan hak milik 16 lot tanah di Jalan Semarak itu kepada Felda tanpa sebarang kos, pada 15 Januari lalu.

Mengenai laporan media mendakwa beliau akan kembali ke pangkuan Umno selepas pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Isa berkata, laporan itu tidak tepat.

“Headline berita itu lain daripada ‘content’, saya kata fokus saya hanya untuk menang PRK ini.”

Sementara itu, katanya, beliau tidak tahu apa faktor yang mendorong bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful untuk bertanding di Port Dickson.

“Dia (duduk) sebelah saya (semasa penamaan calon), saya tanya dia nak mula menyertai politik dengan memasuki pilihan raya ini? Saya kata cubalah, tak ada hal.” -FMT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.