Kecemerlangan pelajar lahirkan generasi berkualiti

MUSCAT, Oman 8 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan betapa penting kecemerlangan pelajar diberi perhatian sewajarnya untuk melahirkan generasi berkualiti tinggi negara pada masa depan.

Baginda bertitah, pelajar yang cemerlang itu perlu mempunyai beberapa aspek antaranya ialah memiliki kemahiran sosial yang baik.

“Ciri-ciri kemahiran sosial ini ialah mampu berinteraksi dengan mereka yang berlainan latar belakang, budaya serta adat resam,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Jabir Bin Zaid di bandar ini, hari ini.

Berangkat sama ialah anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Tuanku Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) disambut oleh pengetua sekolah kerajaan Oman tersebut, Sulieman Al-Jabri serta para pegawai kanan beliau.

Turut hadir mengiringi baginda ialah ahli-ahli majlis MAIPs, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Izmi Ismail dan Datuk Dr. Juanda Jaya.

Izmi ketika ditemui menyatakan hasrat pihak jabatannya untuk mendapatkan seberapa banyak perkongsian maklumat daripada sekolah-sekolah di negara ini.

Katanya, antara ialah mempelajari bagaimana negara ini melaksanakan aktiviti yang boleh menarik minat pelajar ke sekolah menerusi pembelajaran menyeronokkan dengan menggunakan teknologi maklumat.

“Selain daripada itu, bagaimana negara ini menjana sumber kewangan daripada luar ‘kantung’ kerajaan bagi menjalankan sesuatu aktiviti atau program sekolah yang dilihat lebih ke hadapan berbanding Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.