Tun M ulangi keyakinan Malaysia kembali menjadi Harimau Asia

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi keyakinannya bahawa Malaysia akan kembali menjadi ‘Harimau Asia’ selepas ekonomi negara kembali pulih.

Menurutnya, beliau berharap rakyat bersabar kerana pemulihan ekonomi negara akan dilakukan secara berterusan.

“Sebelum PRU14, pada masa itu kita tak harap dapat jadi kerajaan dan pada masa itu kita buat manifesto untuk susahkan kerajaan (BN).

“Tapi sekarang kita dah jadi kerajaan, susah sikitlah. Saya harap rakyat akan sabar kerana pemulihan akan dilakukan berterusan.

“Negara kita akan kembali menjadi Harimau Asia,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Mahathir – Anwar, di sini, malam tadi.

Tambah Pengerusi PH itu, ramai pelabur luar negara berminat untuk mengetahui dasar diguna pakai kerajaan terutamanya selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Saya jelaskan kepada mereka dan yakinkan mereka kalau mereka melabur di sini, mereka akan dapat layanan baik.

“Kita tak tumpu kepada orang asing saja, domestik pun kita akan tolong. Kita nak orang tempata ambil alih tempat orang asing dengan teknologi baru supaya negara dapat berdikari.

“Sebuah negara tidak akan maju melainkan rakyatnya rajin dan kuat bekerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi ini mengulangi kerisauannya melihat ramai pekerja asing bekerja di Malaysia sekaligus menyebabkan banyak wang dibawa keluar.

“Di Jepun, mereka bekerja sendiri dengan cukup rajin. Sebab itulah negara mereka tak kerugian. Bila masuk orang asing, mereka kerja, dapat upah dan sebahagian upah itu dihantar ke negara mereka.

“Ini merugikan negara kita. Duit keluar kita rugi tapi kalau duit masuk kita untung. Kalau tak bergantung kepada pekerja asing, kita akan lebih kaya,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.