Tol tidak dapat dihapus kerana masalah kewangan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak dapat menghapuskan kutipan tol disebabkan masalah kewangan semasa negara, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata tidak betul sekiranya ada yang beranggapan kerajaan Pakatan Harapan yang baru boleh menghentikan kutipan tol dalam masa dua atau tiga bulan.

“Kita akan teruskan kutipan tol seperti sedia ada, sehingga kedudukan kewangan negara jadi lebih kukuh… ini bermakna kita sedang melihat kepada lain-lain alternatif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan “Malaysia: A New Dawn 2018” di sini hari ini.

Baru berkata kos sebenar penyelenggaraan jalan raya persekutuan setiap tahun adalah kira-kira RM2 bilion, namun kementerian Kerja Raya hanya menerima antara RM600 juta dan RM800 juta sahaja dari bajet tahunan bagi tujuan itu.

“Malah kami diminta berusaha mengurangkan lagu jumlah itu, pihak kami menerima kurang 50 peratus daripada apa yang diperlukan. Selain itu kami juga ada kerja-kerja penyelenggaraan yang tertangguh sekitar 30 peratus yang perlu dilaksanakan, jika kami tidak laksanakan kerja-kerja ini, jumlah kerja yang tertangguh akan melonjak kepada 40 atau 50 peratus,” katanya.

“Keselamatan pengguna jalan raya amat penting, oleh itu kami akan merayu kepada Kementerian Kewangan untuk dapatkan peruntukan sewajarnya yang kami perlukan. Jika kerja-kerja penyelenggaraan ini tidak dijalankan, lebih banyak lagi jalan raya akan berlubang, nanti timbul pula isu lain lagi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.