Rancangan Jual Aset Felda Sejak 2017

Kritikan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mengenai penjualan aset bagi menampung perbelanjaan dan membayar hutang FELDA tidak lebih seperti menepuk air di dulang terkena muka sendiri.

Perancangan menjual aset FELDA yang di luar daripada bidang keutamaan perniagaan (core business) FELDA dibuat sejak Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengambil alih pengurusan pada 2017.

Beberapa hari lalu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor telah menyenaraikan beberapa kaedah penyusunan semula bagi pemulihan dalam tempoh dua tahun akan datang. Antaranya ialah penstrukturan semula pinjaman bank, mendapatkan saluran hayat tambahan bagi pembayaran serta melupuskan aset syarikat dalam dan luar negara.

Felda akan menjual aset di London, iaitu penginapan asrama, pangsapuri dan hotel, selain hotel di Kuching dan Kota Kinabalu dengan beberapa tanah di kawasan tertentu bagi tujuan pengurangan hutang dan kelemahan aliran tunai.

Najib Razak sepatutnya menyambut baik usaha FELDA untuk mengurangkan hutangnya sebanyak RM8.025 bilion kepada RM6.5 bilion menjelang akhir tahun ini. Ini akan memberi kedudukan kewangan yang lebih sihat dan baik kepada Felda.

Masalah terbesar Felda bukan kerana Tun Mahathir Mohamad tidak memberi sebarang bantuan kewangan kepada Felda sejak 1996 seperti yang disindir Najib. Felda mula bermasalah apabila Najib Razak menubuh dan mengapungkan Felda Global Ventures Holdings(FGV) pada 2012.

Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia ini mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk Koperasi Permodalan Felda (KPF) namun diteruskan juga. Akhirnya sebahagian aset dan keuntungan FELDA yang sepatutnya dapat sepenuhnya kepada Felda terpaksa dikongsi bersama pelabur lain yang telah membeli saham FGVH.

Dari mendapat 100% hasil ladang milik Felda, selepas penyenaraian tersebut Felda hanya mendapat sebahagian sahaja keuntungan.

Benar FGVH diapungkan bagi mendapat modal penanaman semula ladang-ladang Felda yang sudah tua dan tidak lagi mengeluarkan hasil yang menguntungkan. Namun jika hari ini Najib Razak menyarankan supaya kerajaan membantu kewangan Felda, mengapa beliau tidak lakukan ini ketika pentadbirannya tanpa perlu melakukan penyenaraian tersebut?

Najib Razak mempunyai kuasa dan kemampuan membantu Felda semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Dari memberi bantuan bagi penanaman semula, beliau menjual saham di Bursa Malaysia bagi tujuan mengumpul modal penanaman semula. Ini menyebabkan Felda mengalami kekurangan aliran tunai apabila pendapatan FGVH tidak seperti dijangkakan.

Walau sejauh mana pun sayangnya Najib Razak kepada Felda, hakikatnya di bawah penyeliaan beliaulah Felda mengumpul hutang sebanyak RM8 bilion dan berhadapan krisis aliran tunai.

Benar Tun Mahathir tidak lagi memberi bantuan kepada Felda sejak 1996. Namun ia bukan kerana kerajaan ketika itu tidak prihatin kepada Felda tetapi kerana beliau telah memberi beratus ribu hektar tanah Felda.

Pemberian beratus ribu hektar ini membolehkan Felda berdikari dan mempunyai aliran tunai yang berbilion ringgit sehinggalah sebahagian harta ini kemudiannya disenaraikan di Bursa Malaysia oleh pentadbiran Najib Razak.

Penyenaraian ini dan pembelian aset dan hartanah di luar bidang perniagaan utama secara semberono telah lain menyebabkan masalah aliran tunai dan peningkatan hutang kepada Felda.

Justeru sebelum Najib Razak mengkritik keputusan pengurusan baharu Felda, ada baiknya beliau mendapat fakta yang tepat dan memikirkan secara mendalam. Masalah hutang dan aliran tunai Felda memerlukan penyelesaian bukan kritikan dan saranan mengarut.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.