Cuma 24% kakitangan awam bergaji lebih RM5,000

PARLIMEN | Kira-kira 76 peratus daripada lebih 1.1 juta kakitangan awam dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat gaji kurang daripada RM5,000 kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Kata Liew sehingga 30 Jun lalu ada seramai 1,146,222 penjawat awam sedang berkhidmat dengan kerajaan dan daripada jumlah itu seramai 866,270 tergolong dalam kumpulan pegawai gred 44 dan ke bawah.

Katanya selain gaji asas penjawat awam juga menerima imbuhan tetap serta elaun yang menjadi elemen tambahan tidak tetap mengikut keperluan serta keadaan semasa.

“Sekiranya mengambil kira unsur imbuhan tetap dan elauan bulanan yang diperuntukkan, jumlah tersebut (kakitangan awam bergaji kurang RM5,000) menurun kepada 742,561 orang atau 65 peratus,” katanya.

Liew berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mansor Othman (HARAPAN – Nibong Tebal) yang mahu tahu mengenai jumlah serta peratusan pegawai kerajaan yang bergaji kurang daripada RM5,000 sebulan.

Mansor juga bertanya mengenai rancangan kerajaan membantu meringankan bebanan golongan terbabit ketika suasana ekonomi semakin mencabar kini.

Kata Liew ketika ini struktur gaji perkhidmatan awam negara menggunakan Jadual Gaji Minimum Maksimum yang berasaskan gaji berpatutan bagi menyara keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan perumahan.

“Gaji yang ditentukan adalah berdasarkan prinsip kadar upahan untuk kerja, kelayakan masuk dan latihan, relativiti dan pariti,” katanya.

Untuk menjaga kebajikan kakitangan awam kata Liew kerajaan sentiasa membuat kajian dan semakan dari semasa ke semasa berdasarkan prinsip tertentu.

“Semasa melaksanakan kajian dan semakan tersebut, kerajaan perlu memberi pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati dengan mengambil kira kesan kepada perbelanjaan mengurus serta kedudukan kewangan negara,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.